Kawan
Kawan...
Berapa ramai sebenarnya kawan aku? Adakah semua yang aku kenal tu dikira kawan? Adakah yang pernah belajar sama-sama tu dikira kawan? Yang sama tempat kerja? Yang kenal melalui facebook? Adakah semuanya kawan atau sekadar kenalan?
Bagaimana pula dengan istilah sahabat? Siapa yang boleh dikategorikan sebagai sahabat?
Bukan tujuan aku menulis untuk mempertikaikan keikhlasan sesiapa pun berkawan. Aku sendiri pun jauh dari sempurna menjadi sahabat untuk siapa-siapa pun. Aku juga serba kekurangan. Cuma sekadar menunjukkan penghargaan kepada insan-insan yang menunjukkan kualiti seorang sahabat dalam hidup aku. Insan-insan yang membuatkan aku percaya tidak kesemua manusia hanya memikirkan diri sendiri.
Kelmarin, aku berbual melalui YM dengan seorang kawan. Entah macamana, terkeluar keluhan tentang ubat aku yang tertinggal di rumah. Masya Allah, betapa pedulinya sahabat ini, disebabkan dirinya jauh, diwar-warkan kepada teman-teman lain tentang masalah aku. Seorang sahabat yang sudah bertahun aku tak hubungi, menelefon aku bertanya tentang ubat tu. Kemudian sanggup pergi ke farmasi dan hantar ubat ke pejabat aku yang jaraknya berpuluh kilometer. Memang sangat sebak sampai terpaksa menyorokkan air mata.
A friend in need, is a friend indeed... Kata-kata yang terlalu tepat untuk menerangkan maksud kawan sebenar.
Dulu aku beranggapan, jika kita berbuat baik kepada manusia, manusia akan berbuat baik kepada aku. Betapa naifnya pemikiran seperti itu. Walaupun kita sentiasa cuba membantu dan menggembirakan mereka yang di sekeliling kita. Masa, usaha, wang atau apa saja yang kita curahkan, namun kebanyakan manusia tidak akan menghargainya. Di saat datangnya sakit, di kala datangnya duka, di kala hidup dalam masalah, hanya kawan sejati yang peduli.
Banyak lagi peristiwa yang selalu membuatkan aku terfikir, siapa kawan aku? Biasanya aku cuma pendamkan saja, tapi apa yang berlaku kelmarin benar-benar buat aku terharu. Ada kawan cuma semasa berseronok, ada kawan yang cuma ketika mereka perlukan pertolongan aku, ada kawan yang cuma mengharapkan sesuatu. Alhamdulillah, masih ada kawan saat aku memerlukan. Alhamdulillah, ada yang masih sudi berkawan walaupun aku pernah meninggalkan parut dalam kamus hidup.
Yang dikritik bukan orang lain, tapi diri sendiri. Kenapa aku tak tahu menjaga ukhwah yang mahal ni? Kenapa aku kurang menghargai kawan yang berharga, yang satu dalam sejuta. Kenapa aku tak mampu menjadi sahabat seperti mereka. Semoga Allah menjadikan aku seorang kawan yang lebih baik terhadap mereka-mereka ini.
Ya Allah, mohon ditimbal segala kekurangan diri, agar aku bisa menjadi sahabat yang lebih baik bagi mereka yang ikhlas dan peduli. Jangan jadikan aku sahabat yang lupa budi. Jangan jadikan aku sahabat yang hilang ketika aku diperlukan di sisi....
Posted by Posted by Ariff Abdullah , on at 10:59 • Labels: babbler, L

0 comments:
Post a Comment