Ramadhan: Perbandingan Kita dan Para Sahabat dan Tabi'in
Ramadhan tinggal berapa hari je lagi. Dah dekat sangat dah. Apa plan kita untuk Ramadhan kali ini? Mari kita buat benchmark amalan Ramadhan kita dengan para sahabat dan tabi'in
Menghayati al-Qur'an
![]() |
| Image from haqislam.com |
Tapi harus diingat, mereka ini sentiasa menghayati kandungan al-Qur'an sepanjang masa. Bagi kita yang tidak fasih di dalam ilmu al-Qur'an dan hadis, maka tidak perlulah tergesa-gesa untuk khatam seberapa banyak yang mungkin. Mulakan dengan penghayatan dahulu. Perbanyakkan bacaan, tapi bacalah dengan tartil dan tadabbur. Jangan hendak mengejar khatam, tetapi tajwid penuh kesalahan, tafsir tiada yang terlekat. Wallahu'alam.
- Dari Ibrahim an-Nakha'i, diriwayatkan al-Aswad bin Yazid khatam al-Qur'an setiap dua malam di bulan Ramadhan. Beliau cuma tidur di antara Maghrib dan Isya'.
- Abdul Malik bin Abi Sulaiman pula meriwayatkan Sai'd bin Jubair juga turut menghabiskan al-Qur'an dalam dua malam sahaja.
- Al-Walid mengkhatamkan al-Qur'an sebanyak 17 kali sepanjang bulan Ramadhan.
- Dari Salam bin Abi Muti', diriwayatkan bahawa Qataadah khatam al-Qur'an setiap tiga hari dalam bulan Ramadhan. Pada sepuluh malam terakhir, beliau menghabiskan al-Qur'an setiap malam.
- Al-Qasim bin Ali, menyatakan pada bulan Ramadhan ayahnya, Ibnu Asakir (Penulis buku Sejarah Damsyik), menghabiskan al-Qur'an setiap hari.
- Dari ad-Dhahabi, diriwayatkan Abu Barakat Hibabullah bin Mahfuz mengkhatamkan al-Qur'an sebanyak 30 kali di bulan Ramadhan.
Solat Malam
- Al-Sa'ib bin Yazid meriwayatkan "Umar bin al-Khattab menyuruh Ubay bin Ka'ab dan Tamim ad-Dari mengetuai solat berjemaah di bulan Ramadhan. Mereka berdua membaca ratusan ayat dalam sekali bacaan, sehingga kami terpaksa menyangga tubuh kami dengan tongkat-tongkat kerana panjangnya tempoh berdiri. Kami hanya selesai bersolat ketika waktu Subuh sudah hampir" (Musannaf Abdul Razzaq dan Sunan al-Baihaqi)
- Abdullah bin Abu Bakar as-Siddiq menceritakan beliau mendengar ayahnya berkata "Ketika kami selesai solat di bulan Ramadhan, para khadam terpaksa bergesa-gesa menyediakan sahur kerana bimbang waktu Subuh sudah terlalu hampir" (al-Muwatta)
- Riwayat dari Abdul Rahman bin Hurmuz, "Qari-qari (yang mengimamkan jemaah) akan menghabiskan surah al-Baqarah di dalam lapan rakaat. Ketika mereka menghabiskan surah itu di dalam 12 rakaat, jemaah menganggap qari-qari tersebut cuba menjadikannya mudah" (Musannaf Abdul Razzaq dan Sunan al-Baihaqi)
- Nafi'i meriwayatkan bahawa Ibnu Umar akan mengerjakan solat sunat dirumahnya di bulan Ramadhan. Ketika jemaah mula meninggalkan masjid, barulah beliau berangkat ke Masjid Nabawi, membawa bersama sebekas air. Beliau tidak akan pulang dari masjid sehinggalah solat Subuh (Sunan al-Baihaqi)
- Imran bin Hudair meriwayatkan bahawa Abu Mijlaz akan mengimamkan solat semasa Ramadhan untuk jiran tetangganya. Beliau akan mengkhatamkan seluruh al-Qur'an di dalam solat dalam masa tujuh hari. (Musannaf Ibnu Abi Shaibah)
Masya Allah... Mampukah kita? sedangkan tarawikh yang sebentar itu sahaja pun terlalu berat dirasakan...
Bersedekah
- Ibnu Umar tidak pernah berbuka puasa melainkan bersama golongan fakir dan miskin. Jika seseorang datang meminta makanan ketika beliau sedang makan, maka beliau akan mengambil sedikit dari makanannya dan memberikan selebihnya kepada orang yang meminta itu. Makanan yang sedikit di dalam tangannya itu akan diberikan kepada ahli keluarga beliau. Esoknya Ibnu Umar akan menyambung puasa walaupun beliau langsung tidak makan pada malam sebelumnya (Lata'if al-Ma'arif).
- Yunus bin Yazid meriwayatkan bahawa di sepanjang bulan Ramadhan, Ibnu Shihab tidak akan melakukan pekerjaan lain melainkan membaca al-Qur'an dan memberi makanan kepada golongan miskin.
- Hammad bin Abi Sulaiman memastikan beliau menyediakan makanan kepada 500 orang pada bulan Ramadhan. Setelah tiba hari Eid, beliau pula akan memberikan setiap dari 500 orang tersebut 100 keping wang perak.
Itu benchmark kita. Berapa peratuskah skala Ramadhan kita jika dibandingkan dengan para sahabat dan tabi'in? Sama-sama kita mencuba yang terbaik...
Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rajab dan Sya'aban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan
Salam Ramadhan untuk semua. Di kesempatan ini, diri ini ingin memohon keampunan di atas segala khilaf dan dosa. Salam ukhuwwah, salam memohon kedamaian, salam untuk semua.
-L-
Posted by Posted by Ariff Abdullah , on at 13:55 • Labels: babbler, Islam, L, ramadhan

wah dah makin gempak dan cantik dah web sekarang :) salam ramadan bro, semoga puasa kita diterima, semoga ramadan kali ini meningkatkan diri kita jauh lebih baik dari diri kita yang sudah-sudah... insyaallah...