Santunilah Ilmu Sebagai Seorang Teman
Sering dalam mendapatkan ilmu, kita terlupa akan tertibnya, akan adabnya. Saya juga sentiasa lupa. Di zaman informasi ini, tatkala dunia dan ilmu berada di hujung jari, semakin hilang nilai ilmu dalam persepsi kita. Pergi saja ke Google, pelbagai jenis ilmu boleh dicari di sana! Yang hitam atau yang putih, yang ringan atau yang berat, yang cerah atau yang gelap... Semuanya ada!
Oleh itu, lebih penting lagi lah untuk kita tahu bagaimana menyantuni ilmu itu. Yang pertama harus kita sentiasa ingat, ilmu bukanlah alat. Bukan untuk kita pergunakan. Ilmu adalah anugerah Allah S.W.T. yang harus kita hargai, harus disantuni. Menghargai buku kerana di dalamnya berisi ilmu, menghormati guru juga kerana yang dibawanya adalah ilmu.
Pertama, betulkan niat...
Ketika mula mempersiapkan diri mempelajari ilmu, tanyalah diri kita, untuk apa aku belajar ilmu ini? Untuk menunjuk hebat? Untuk menyakiti orang lain? Atau untuk membantu sesama manusia? Apa jua alasannya, baik atau buruk, jika di dalam alasan itu ilmu adalah alat, maka sukarlah ilmu itu untuk hadir. Jika hadir pun barangkali sebagai ilmu di lidah, atau ilmu di akal. Untuk mendapatkan ilmu yang tersimpan di dalam dada, maka ilmu harus dijadikan matlamat, bukannya alat. Betulkan nawaitu, aku ingin mempelajari ilmu ini kerana aku tertarik dengannya, aku kagum akan kelebihannya, aku ingin lebih tahu dan faham tentangnya.
Bagaimana menimbulkan rasa tersebut? Lihatlah pada orang-orang yang telah menguasai ilmu tersebut. Perhatikan kehebatan mereka sehingga timbul rasa kagum terhadap ilmu yang dimiliki. Sehingga terpesona dengan ilmu tersebut. Sehingga kita dapat rasakan, kita inginkan ilmu itu semata-mata kerana ilmu itu sendiri, bukannya tujuan lain. Sehingga ilmu itu adalah matlamat, bukannya alat.
Andainya ilmu itu adalah seorang insan, bagaimana kita akan menyantuninya? Wajarkah kita datang kepada sang ilmu dan berkata, "Aku ingin menjadi temanmu, agar aku dapat melakukan perkara-perkara yang ku impikan." Atau "Aku ingin menjadi temanmu, agar aku dapat berbangga di kalangan teman-temanku." Wajarkah begitu? Seharusnya kita mendatangi ilmu dan berkata "Aku ingin menjadi temanmu kerana engkau mempunyai personaliti yang menarik, kerana engkau membuatkan aku kagum, dan aku ingin lebih mengenalimu."
Kedua, hormati ilmu dan jaga namanya...
Jika ilmu itu seorang insan, ia adalah insan yang cukup sensitif. Mudah berkecil hati. Oleh itu, hormatilah ia selayaknya, dan jagalah hatinya. Jangan sesekali memanggil ilmu dengan nama yang buruk, walaupun sekadar bergurau. Jangan mengatakan ilmu itu susah untuk dipelajari, dan jangan, sesekali jangan, merungut, menyumpah dan sebagainya ketika diuji dalam proses mendapatkan ilmu. Ilmu yang mudah didapati adalah ilmu yang mudah hilang. Sabarlah ketika ujian datang, dan fikirkan kembali di mana silap kita sehingga diuji. Kerana di saat kita mula mengatakan ilmu itu susah, maka secara kita tidak sedar sedang menolak ilmu itu agar menjauhi kita. Datangi ilmu itu dengan hati dan minda yang terbuka, dada yang lapang, dan jiwa yang merendah diri. Kita memerlukan ilmu, bukannya ilmu memerlukan kita, maka jagalah adab dan perkataan sewaktu mendatanginya.
Cukuplah dua adab untuk kali ini. Menyantuni ilmu masih banyak dan lebih dalam tertibnya, namun jika dua yang pertama ini dapat diamalkan, maka yang lain insya Allah akan hadir sendiri melalui pengalaman. Ingatlah, santuni ilmu sebagaimana kita menyantuni seorang insan yang ingin kita jadikan teman, bukannya menyantuni satu alat yang ingin kita pergunakan.
Wallahu'alam
Posted by Posted by Ariff Abdullah , on at 19:06 • Labels: babble, babbler, L

0 comments:
Post a Comment