Warna, cahaya dan pigmen

Menjawab pertanyaan SanToz dalam artikel lepas tentang warna asas.

Warna terdiri daripada dua jenis, warna pigmen dan warna cahaya. Kedua-dua warna pigmen dan cahaya mempunyai warna asas yang berbeza. Warna asas pigmen adalah cyan, magenta dan kuning. Warna asas cahaya pula adalah merah, hijau dan biru. Warna-warna ini dipanggil warna asas kerana warna-warna lain boleh dihasilkan dengan gabungan warna-warna asas ini.


Walaupun mempunyai perbezaan, pigmen dan cahaya mempunyai perkaitan yang amat rapat. Pigmen adalah bahan yang menyerap dan memantulkan cahaya. Kita melihat daun bewarna hijau kerana pigmen di dalam daun tersebut memantulkan cahaya hijau dan menyerap cahaya-cahaya lain. Begitu juga pigmen biru memantulkan cahaya biru dan pigmen merah memantulkan cahaya merah.



Namun, kebanyakan pigmen menyerap dan memantulkan setiap cahaya pada kadar yang relatif, bukannya secara total. Contohnya pigmen indigo memantulkan sebahagian besar cahaya biru dan sebahagian kecil cahaya merah. Cahaya-cahaya lain diserap oleh pigmen ini. Maka ketika melihat pigmen ini, reseptor warna di dalam mata kita (yang juga terdiri daripada merah, hijau dan biru) akan dapat mentafsirkan pigmen tersebut sebagai indigo.



Contoh paling biasa bagi membezakan warna-warna asas pigmen dan cahaya adalah pada komputer kita. Skrin atau monitor yang kita gunakan menggunakan profail RGB (Red-Green-Blue) ataupun warna cahaya. Pencetak (printer) kita pula menggunakan profail CMYK (Cyan-Magenta-Yellow-Black) iaitu warna pigmen. Warna hitam boleh dihasilkan dengan mencampurkan cyan, magenta dan kuning dalam jumlah yang sama, tetapi penghasil mesin pencetak lebih gemar menggunakan dakwat hitam kerana lebih menjimatkan kos.

Jadi, bagaimana komputer kita tahu menterjemahkan warna di skrin (RGB-cahaya) kepada warna untuk dicetak (CMYK-pigmen)? Mudah sahaja, kerana cahaya cyan adalah campuran warna hijau & biru. magenta adalah campuran merah & biru, manakala kuning adalah campuran merah & hijau. Jadi, jika skrin kita mengenali warna hijau sebagai G, pencetak kita mengenalinya sebagai C+Y (campuran dakwat cyan dan kuning).

Dengan kata mudah, warna pigmen adalan berlawanan dengan warna cahaya.

Warna #RGB #CMYK
Putih FFFFFF 000000
Merah FF0000 00FFFF
Hijau 00FF00 FF00FF
Biru 0000FF FFFF00
Cyan 00FFFF FF0000
Magenta FF00FF 00FF00
Kuning FFFF00 0000FF
Hitam 000000 FFFFFF


Wallahu'alam

Related Posts by Categories



0 comments:

Post a Comment

Find us on Google+